"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Sultan Selangor umum kedudukan Azmin esok

Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah akan mengeluarkan kenyataan rasmi pagi esok berhubung kedudukan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sebagai Menteri Besar.

Mohamed Azmin mengesahkan perkara itu selepas menghadap Sultan Selangor bagi membincangkan status jawatannya itu di Istana Bukit Kayangan di sini, hari ini yang berlangsung kira-kira dua jam.

Ia susulan penamaan beliau sebagai Menteri Hal Ehwal Ekonomi yang diumumkan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad pada Jumaat lepas.

"Saya menghadap Tuanku Sultan hari ini dan menyembah maklum mengenai perkembangan terkini (mengenai kedudukan sebagai menteri besar).

"Majlis menghadap berjalan dengan cukup positif dan Tuanku akan mengeluarkan kenyataan rasmi mengenai kedudukan saya sebagai menteri besar pukul 9 pagi esok," katanya ketika ditemui pemberita selepas selesai menghadap Sultan Selangor pada kira-kira 1.50 tengah hari di perkarangan istana, di Shah Alam, Selangor hari ini.

Jumaat lepas, Dr Mahathir mengumumkan senarai 15 menteri Kabinet termasuk menamakan Mohamed Azmin sebagai Menteri Hal Ehwal Ekonomi.

Ditanya mengenai pengganti beliau sebagai menteri besar, Mohamed Azmin berkata perkara itu akan dimaklumkan esok oleh pihak Istana.

Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Antarabangsa itu dilantik sebagai Menteri Besar Selangor selepas Pakatan Harapan berjaya mempertahankan negeri ini pada Pilihan Raya Umum Ke-14 pada 9 Mei lepas. Mohamed Azmin turut mempertahankan kerusi Parlimen Gombak pada pilihan raya umum itu.

Dua wakil rakyat Selangor disebut-sebut bakal menggantikan beliau iaitu ADUN Sungai Tua Amiruddin Shari dan ADUN Seri Setia, Dr Shaharuddin Badaruddin.
- Bernama

Tiada ulasan: