"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

PAS jadi ‘kingmaker’: Antara dua kemungkinan

KURANG 100 hari menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), PAS melalui ucapan presidennya, Abdul Hadi Awang mengulangi matlamat mereka untuk menjadi dalang politik atau "kingmaker" dalam PRU akan datang dengan mensasarkan untuk memenangi 40 kerusi.

Hal ini sekali gus sebenarnya membenarkan dakwaan yang PAS tidak mungkin akan menang jika bersendirian melainkan melalui strategi yang bersifat lebih murahan seperti ini.

PAS pada 2008 iaitu pada PRU12 pernah menyasarkan jumlah yang sama namun kekal gagal peroleh jumlah tersebut, tetapi tetap memperoleh jumlah kerusi yang agak besar berbanding sebelumnya.

Pada PRU13, dengan keyakinan terhadap kerjasama Pakatan Rakyat, PAS menyasarkan untuk memenangi 60 kerusi, pun gagal untuk mendapat jumlah tersebut.

Menariknya kali ini, PAS kembali menyasarkan 40 kerusi iaitu menurun jumlah daripada sasaran PRU13 walaupun mereka pernah mendakwa lebih kuat bersendirian.

Mengikut dakwaan ini PAS sepatutnya menyasarkan lebih 80 kerusi iaitu meningkat dari 2013, namun PAS kantoikan pembohongan sendiri apabila hanya sasarkan 40 kerusi. Ternyata PAS tidak kuat bersendirian.

Dua pilihan raya lepas menyaksikan PAS gagal mendapat jumlah kerusi sasaran, namun "sembang" mereka kali ini begitu berkeyakinan untuk peroleh jumlah ini sehinggakan secara terang-terangan isytiharkan untuk menjadi "kingmaker", sesuatu yang tidak patut dikeluarkan oleh sebuah parti yang mendakwa dirinya kuat dan yakin menang.

Ideanya adalah, walaupun PAS akan gagal memperoleh jumlah kerusi yang cukup untuk membentuk kerajaan sendirian, dengan jumlah yang kecil PAS boleh bertindak sebagai "raja" untuk menentukan sama ada Barisan Nasional (BN) ataupun Pakatan Harapan (PH) akan menguasai Putrajaya kelak jika kedua-duanya tidak berjaya peroleh undi yang cukup untuk membentuk kerajaan.

Maka jadilah PAS sebagai "kingmaker".

Ada dua kemungkinan yang boleh berlaku, iaitu PAS berjaya atau PAS gagal untuk peroleh jumlah kerusi yang signifikan untuk menjadi "kingmaker".

Kita ambil dulu situasi ia bergerak sebagaimana PAS rancang. Katakanlah pada PRU14 PAS berjaya peroleh 40 kerusi dan berkuasa menjadi penentu pembentukan kerajaan, PAS akhirnya berjaya mengikut jejak parti Liberal Demokrat (LibDem) di United Kingdom (UK) yang menjadi kuasa ketiga atau "kingmaker" apabila dua parti besar iaitu Parti Buruh dan Konservatif tidak mampu membentuk kerajaan sendiri.

LibDem memilih untuk bersama Konservatif, dan LibDem diberikan kerusi timbalan perdana menteri serta jawatan dalam kabinet. Bertuah, bukan? Walaupun tidak mendapat majoriti namun berjaya menjadi sebahagian parti pemerintah.

Beginilah impian PAS, iaitu menjadi si kecil cili api yang berjaya ke puncak kuasa melalui strategi terdesak ini.

Tetapi apa yang PAS tidak ambil pengajaran ialah LibDem dihukum rakyat dengan kekalahan hampir total pada pilihan raya 2015 di UK.

LibDem yang telah berjaya mengharungi naik turun perjuangan akhirnya hampir pupus apabila "kerajaan perpaduan" LibDem dan Konservatif ditolak secara total oleh rakyat.

Strategi "kingmaker" PAS juga akan menjerumuskan PAS ke dalam satu risiko besar iaitu memilih sekutu selepas PRU14. Jika memilih BN maka PAS kehilangan sokongan ahlinya yang rata-rata membesar dengan membenci Umno.

Jika PAS memilih PH, maka PAS juga terpaksa menjilat kembali ludahnya terhadap Amanah dan DAP, kumpulan yang dakwa mereka "musuh Islam".

Bagaimana pula dengan kemungkinan kedua iaitu PAS gagal peroleh jumlah kerusi yang cukup untuk menjadi "kingmaker"?

Strategi bijaksana PAS kali ini sebenarnya bukan kali pertama di Malaysia. Pada PRU13 yang lalu satu gerakan dinamakan Arus Baru meletakkan pihak mereka sebagai kuasa penentu jika BN dan Pakatan Rakyat memperoleh jumlah kerusi yang hampir sama.

Menjaja keyakinan mereka di forum-forum sebagaimana PAS hari ini, bahkan ada yang mencadangkan individu yang bukan calon pun sebagai PM jika kumpulan mereka menang, dan ternyata strategi mereka berjaya menguburkan terus nama Arus Baru selepas PRU13 apabila mereka hilang wang pertaruhan di semua kerusi yang mereka tandingi.

Tahun ini mereka sudah ada jenama baru, namanya seperti aplikasi alat tunjuk jalan. Entah kenapa nama Arus Baru tidak diguna kembali.

Jadi, PAS boleh jadi tidak sempat merasai takhta kekuasaan sebagaimana LibDem jika pencapaian mereka hanyalah setaraf Arus Baru.

PAS sememangnya sudah tersepit dan kini sebuah parti tanpa harapan, penuh keangkuhan diri sendiri dan lebih tragis, PAS tidak mampu lagi undur ke belakang dan terpaksa menggunakan apa cara untuk mengekalkan survival politik mereka termasuk menyalahkan segalanya pada DAP dan Amanah. – 18 Januari, 2018.

* Muammar Qaddafi ialah pembaca The Malaysian Insight.

Tiada ulasan: