"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Zamihan dilindungi ‘godfather’

Free Malaysia Today
Khairil Ashraf
SHAH ALAM: Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Abdul Samad hari ini mendakwa Presiden Pertubuhan Ahli Sunnah Wal Jamaah Malaysia (Aswaja) Zamihan Mat Zin dilindungi oleh seorang individu yang berpengaruh.

Pemimpin Amanah itu menambah individu itu kini cuba mengadap Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, untuk merayu bagi pihak Zamihan kerana kenyataan mengkritik Sultan Johor baru-baru ini.

“Ustaz Zamihan ada dia punya ‘god father’ dia. Ini bukan baru. Dia selamba sahaja kata orang itu, ini kafir tapi tak ada tindakan yang diambil.

“Sampai sekarang ini hentam sultan pun boleh,” katanya pada sidang media di pejabat Ahli Parlimen Shah Alam hari ini.

Beliau bagaimanapun tidak menamakan individu itu, sekadar menjawab: “Itu wartawan perlu menyiasatnya”.

Dalam satu video yang tular baru-baru ini, Zamihan mengkritik Sultan Johor kerana mengarahkan seorang pengusaha dobi layan diri di Muar menghentikan dasar “mesra Muslim” dan menganggap orang bukan Islam tidak bersih.

“Ada sultan kata ‘dobi mesra Muslim tak patut diadakan di negeri beta’, dan ‘ini bukan negeri Taliban…’? Tak patut Tuanku Sultan cakap macam itu,” katanya dalam kuliah di Masjid Tengku Ampuan Jemaah di Shah Alam, pada 8 Oktober.

“Cina biasa kencing berak tak basuh. Bagaimana tentang darah haid mereka, pada pakaian dalam mereka, peluk dakap anjing, minum arak, tumpah arak, makan babi, sup babi. Itu semua sinonim dengan mereka,” katanya sambil mencabar rakaman ucapannya ditunjukkan kepada pihak atasan, termasuk sultan.

“Silakan! Apa kita nak takut kalau kita bercakap menjunjung kebenaran?” kata Zamihan, yang juga pegawai kader Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JKM) di Kementerian Dalam Negeri.

Sultan Johor dalam kenyataan keras menyifatkan Zamihan “tin kosong” dan angkuh. Raja-raja Melayu mengecam dasar perniagaan untuk “orang Islam sahaja” sebagai tindakan keterlaluan, boleh menjejaskan keharmonian dan membawa implikasi lebih mendalam sekiranya bersabit dengan dan dilakukan atas nama Islam.

Susulan kenyataan Sabtu lepas, Ketua Pengarah Jakim Tan Sri Othman Mustapha dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom memohon menghadap Sultan Ibrahim, selepas Sultan Johor melarang Jabatan Agama Islan Negeri Johor berurusan dengan Jakim.

Sementara itu, Khalid turut menyentuh isu ceramah Pengetua Maahad Tahfiz Darul Tahzhib, Shahul Hamid, yang mengharamkan umat Islam mendapatkan khidmat potong rambut di kedai bukan Islam, menghantar anak ke sekolah kelolaan bukan Islam dan juga memberikan ucapan hari jadi.

Menurutnya Khalid, ceramah terbabit menggambarkan corak pemikiran yang melampau.

“Inilah corak pemikiran ekstrem. Ekstremisme ini tak semestinya pengganas. Ekstrem ini dia nak buat lebih apa yang Islam tuntut,” katanya.

Khalid berkata, ceramah seperti itu juga melihatkan Islam sebagai punca kepada pecah belah dan kebencian.

“Sedangkan Islam tak ajar benda itu. Dalil tak ada. Ini atas dasar prejudis, kebencian, rasis dan fasis punya pemikiran,” katanya.

Tiada ulasan: