"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Sebab kenapa Himpunan anti kleptokrasi dianggap berjaya - Salahuddin Ayub

Himpunan anti kleptokrasi berjaya tarik kehadiran Melayu
ARIF ATAN 
Himpunan anti kleptokrasi berjaya tarik kehadiran Melayu
 
Salahuddin Ayub ketika diwawancara Ahmad Lutfi Othman di Wisma Amanah.

Timbalan Presiden AMANAH, Salahuddin Ayub menyifatkan himpunan Sayangi Malaysia Hapuskan Kleptokrasi, Sabtu lalu sebagai berjaya menarik kehadiran orang Melayu sekaligus mengimbangi komposisi penyertaan rakyat berbilang kaum.

Menurutnya, situasi tersebut berbeza dengan siri himpunan sebelum ini sehingga dimanipulasi pihak Umno-BN kononnya didominasi kaum Cina.

Beliau berpendapat paling penting adalah trend sokongan Melayu yang membawa petanda positif ketika Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) semakin hampir.

“Memanglah himpunan lepas kalau dibandingkan Bersih tidak mencapai sasaran kehadiran. Itu tidak mengapa.

“Tapi apa yang saya gembira pada hari itu, kita melihat majoriti yang menyertai himpunan adalah Melayu. Sebelum ini, sukar untuk kita lihat,” ujarnya ketika diwawancara Malaysia Dateline di Wisma AMANAH, Kuala Lumpur hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tentang dakwaan pihak tertentu kononnya himpunan anjuran Pakatan Harapan itu gagal jika dibandingkan dengan program Fastaqim 2.0 pada 29 dan 30 September lalu.

Mengulas lanjut, Salahuddin berkata, peserta Hapuskan Kleptokrasi mewakili setiap segmen dalam masyarakat majmuk di negara ini berbeza dengan perhimpunan anjuran Pas di Kuala Nerus, Terengganu itu.

“Himpunan kita itu pun menggambarkan sokongan rakyat terhadap Pakatan Harapan bukanlah kecil impaknya sehingga ditohmah tidak mendapat sambutan.

“Apa yang penting kita berjaya meyakinkan masyarakat Melayu untuk keluar berhimpun menjadikan peserta program yang berlangsung sepanjang tujuh jam itu terdiri daripada semua kaum serta merentas wilayah sehingga Sabah dan Sarawak,” jelasnya.

Walau bagaimanapun, beliau memberitahu sambutan menggalakkan daripada orang ramai terhadap mana-mana perhimpunan bukan satu ukuran mutlak yang turut mencerminkan kejayaan pada pilihan raya.

“Pengalaman dalam Pas dulu, kitalah paling berjaya daripada segi menarik kehadiran orang ramai tetapi bila keputusan pilihan raya, Pas kalah,” tegas bekas Naib Presiden Pas itu.

Sehubungan itu, beliau berkata, paling penting adalah tumpuan pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) dan bukannya hanyut dalam hal remeh-temeh yang tidak membantu Pakatan Harapan dalam menentang rejim Umno-BN.

Mahathir

Hal tersebut, jelasnya, termasuk terus bersikap mengungkit tindakan Tun Mahathir sepanjang menjadi Perdana Menteri sebelum ini.

“Sikap Tun Mahathir sudah jelas mahu menumbangkan Umno-BN. Kita pun bukanlah naif sangat untuk menilai mereka yang hendak bersama kita.

“Mahathir datang kepada Pakatan Harapan sebab katanya Naib itu jahat. Najib ini amalkan kleptokrasi, merompak, menyamun mencuri duit rakyat dan hal itu benar bukan fitnah.

“Kita pun tahu dan baca segala dokumen berkaitan. Dia (Mahathir) nak jatuhkan Umno-BN. Itu jugalah perjuangan kita selama ini. Dia sudah mahu bersama kita,” ujarnya.

Ditanya tentang reaksi pihak tertentu yang masih tidak dapat menerima kehadiran Mahathir dalam Pakatan Harapan, Salahuddin berpendapat sikap tersebut tidak berjiwa besar dan berpandangan jauh.

“Keputusan politik perlu dibuat pada waktu yang tepat dengan berani mengambil risiko. Tidaklah bijak kalau kita enggan terima seseorang yang sudah meninggalkan parti lamanya dan mahu bersama kita.

“Terlalu bodoh juga untuk kita mempersoalkan segala dosanya yang lepas. Kita ada pengalaman (bekerjasama) dengan Ku Li (Tengku Razaleigh Hamzah) dan Datuk Seri Anwar Ibrahim (selepas keluar Umno).

“Adakah Pas ketika itu mengungkit-ungkit minta supaya mereka minta maaf di depan khalayak atau senaraikan dosa-dosa mereka?

“Itu bukan budaya Islam sebagaimana Nabi pun boleh menerima Abu Suffiyan. Tindakan yang terus mengungkit sikap Mahathir adalah tidak Islamik bagi saya,” tambahnya lagi.

Turut serta dalam wawancara selama hampir dua jam itu kolumnis Malaysia Dateline, Ahmad Lutfi Othman.

Tiada ulasan: