"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Gambar dan berita Himpunan Sayangi Malaysia Hapuskan Kleptokrasi dari Malaysia Dateline

Laporan Langsung: Himpunan Sayangi Malaysia Hapuskan Kleptokrasi

 Wartawan : DALIA ISMAIL & ARIF ATAN Foto : WAN ZAHARI WAN SALLEH & MOHD SYAFIQ ISKANDAR

 
10.22 malam: Pengerusi PH Tun Dr Mahathir berasa bersyukur kerana rakyat berkumpul sejak jam 4 petang yang menunjukkan semangat untuk menghapuskan kleptokrasi di negara ini.

Katanya kali ini masalah dihadapi adalah luar biasa kerana rakyat dipimpin oleh seorang perdana menteri ‘pencuri penyamun dan perompak’ yang tidak pernah berlaku sebelum ini.
“Jika mahu negara dihormati, dipandang tinggi, kita perlu singkirkan penyangak dan penyamun ini.
“Kita perlu nyatakan tentangan terhadap pemimpin dan kerajaan seperti ini jika bersatu hati bekerjasama dan tidak takut mengundi PH dan menolak Umno-BN.
“Takkanlah rakyat Malaysia begitu takut nak pangkah pun tak berani. Ada orang takut pada MACC (SPRM), pendakwaraya yang ada di sekeliling Najib,” ujarnya.
Beliau juga mengulas cubaan untuk menggagalkan himpunan hari ini.
“Kita manusia yang tertib yang mempunyai adab resam bukan penyamun dan penyangak.
“Tak tahulah berapa tahun lagi cuma nak habiskan kerja ni lagi,” ujarnya yang mendapat tepukan ramai.
Menurut Dr Mahathir lagi PH bukan meminta sokongan rakyat tetapi akan sokong kehendak rakyat.
“Saya yakin semua kita mahu jatuhkan kleptokrasi yang ada di negara ini,” ujarnya.
10.20 malam: Presiden AMANAH Mohamad Sabu sekali lagi melancarkan kutipan derma buat kali ketiga malam ini.
“Ada yang baru lepas menonton perlawanan (bola sepak) Liverpool lawan Manchester United.
“Jadi mereka tidak sempat menderma. Yang sudah menderma pula sila buat siaran ulangan,” seloroh Pengerusi Mobilisasi Pakatan Harapan itu lagi.
10.10 malam: Pimpinan Pakatan Harapan dan peserta himpunan mengangkat plakad Sayangi Malaysia Hapus Kleptokrasi.
Ikrar Sumpah Padang Timur kemudian dipimpin Pemuda Pakatan Harapan.
Ikrar berkenaan antara lain menekankan akan menjadi warga yang bersatu padu berpaksikan perlembagaan dan undang-undang.
“Menjadi negara yang berintegriti, rakyat yang bermaruah, berjati diri, akan membebaskan negara tercinta daripada pemimpin yang rasuah,” dipetik daripada ikrar tersebut.
Peserta berbilang kaum turut bersemangat berikrar selama kira-kira enam minit.
“Berat sama dipikul, ringan sama dijinjing. Gunung sama didaki, lurah sama dituruni.
“Biar putih tulang, jangan putih mata, kerana Malaysia ini kita punya,” akhiri ikrar tersebut.
10.05 malam: “Negara kita tanggungjawab kita,” teriak Presiden Pakatan Harapan, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.
Pembuka ucapan Presiden PKR itu mendapat tepukan gemuruh peserta Himpunan Hapus Kleptokrasi malam ini.
Beliau mempersoalkan kewajaran Perdana Menteri membeli pesawat Boeing baru-baru ini.
“Apa guna kuasa jika tidak amanah dan bertanggungjawab,” tegasnya.
10.02 malam: Orang ramai yang membanjiri Padang Timur MBPJ bagi mengikuti ceramah umum Himpunan Sayangi Malaysia Hapuskan Kleptokrasi.

10.00 malam: Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata undang-undang dalam negara tidak melindungi rakyat.
Kuasa di bawah pimpinan Datuk Seri Najib disalah guna hanya untuk melindungi orang tertentu dan bukan untuk melindungi rakyat terbanyak.
Beliau menyeru rakyat tumbangkan kerjaan kleptokrasi pimpinan Najib.
Muhyiddin memberi jamin bahawa PH akan membentuk kerajaan yang lebih bersih dan menjamin keadilan untuk rakyat.
“Tentukan PH menang besar dalam pilihan raya akan datang,” ujarnya.
9.45 malam: Ketika Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng berucap di atas pentas menjawab pelbagai tohmahan ke atas DAP dan kerajaan Pulau Pinang, ayahnya Lim Kit Siang di sisi pentas mendapat perhatian ramai peserta himpunan berbilang kaum.
Mereka mengambil kesempatan untuk berswafoto bersama Ketua Parlimen DAP itu.
Pada masa sama, Guan Eng dalam ucapannya berkata, kerajaan sedia ada adalah tidak siuman.
Sehubungan itu, tegasnya, tugas rakyat pada PRU-14 ini adalah untuk mengembalikan negara ini waras semula.
“Kita mahu yang terlibat dalam 1MDB ditangkap. Tangkap sama dia Jho Low.
“Hancurkan kerajaan yang sudah gila,” tegas Ketua Menteri Pulau Pinang itu lagi.
9.40 malam: Pimpinan Pakatan Harapan mengajak peserta himpunan menyambut ulang tahun kelahiran Presiden AMANAH, Mohamad Sabu dan Naib Presiden, Datuk Husam Musa.
Terdahulu, Mohamad menegaskan rasuah yang dilakukan Perdana Menteri adalah sahih lagi jelas.
“Mana-mana parti politik mahupun NGO yang masih menyokong Najib sila berhenti, masuk Pakatan Harapan,” tegasnya.
9.31 malam: Sasterawan Negara Datuk Seri A Samad Said mendeklamasikan sajak.
9.16 malam: Aktivis Hishamuddin Rais mengingatkan rakyat tiada pilihan kerana jika Najib terus berkuasa, negara akan tergadai.
“Kita tiada pilihan melainkan menjatuhkan kerajaan Umno. Kita mesti turun mengundi Pakatan Harapan.
“Kali ini kita akan menang!” ulangnya dua kali sebelum menyambung, “tetapi jika kita kalah, kita ditipu. Jika kita ditipu, kita turun ke jalan raya.
“Kita dalam satu barisan dengan satu tujuan menjatuhkan Najib Razak. Kita turun ke jalan raya sebelum kita turun pilihan raya,” ulang Hishamuddin lagi.
9.10 malam: Pengerusi Bersih 2.0 Maria Chin menggesa Pakatan Harapan supaya bersatu padu.
“Ini sangat penting sebab bersatu padu menunjukkan kerajaan menanti yang bersedia… Ada 3.8 juta pengundi yang belum mendaftar. Jangan boikot kempen pilihan raya,” tegasnya.
Katanya, jika 13 juta rakyat keluar mengundi maka kita dapat melakukan perubahan secara besar-besaran.
9.00 malam: Pengarah Eksekutif Pusat Membanteras Rasuah dan Kronisme (C4), Cynthia Gabriel memperkenalkan permainan Kleptopoly.
Menurutnya, permainan ini menyampaikan mesej tentang skandal Scorpene yang berkaitan dengan korupsi pemimpin kerajaan sedia ada.
8.55 malam: Majlis mengumumkan ketibaan Pengerusi Pakatan Harapan  Tun Dr Mahathir Mohamad yang menerima tepukan gemuruh peserta pelbagai kaum.
Teriakan “Pakatan Harapan!” bergema dari Padang Timur Petaling Jaya malam ini.
8.50 malam: Ucapan bersemangat Timbalan Presiden AMANAH Salahuddin Ayub menerima tepukan gemuruh peserta.
“Kerajaan yang mampu dan berguna memperjuangkan roh dan semangat rakyat adalah Pakatan Harapan.
“Inilah janji sumpah setia kita bahawa kita tidak mahu pemimpin yang ‘kelepet’ duit rakyat.
“Najib penghidap kleptokratmaniac. Najib perompak duit rakyat Malaysia,” tegasnya.
Sehubungan itu beliau menyeru rakyat bertekad menumbangkan rejim Umno-BN.
8.45 malam: Timbalan Presiden Bersatu Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, kerajaan sedia ada terlalu korup sehingga kedaulatan negara terdedah kepada ancaman.
“Soal geopolitik amat bahaya. Beri hak milik kekal ribuan ekar kepada warga asing.
“Mereka (Konglomerat China) membangunkan pangsapuri kepada warga mereka. Mereka ketepikan syarat pemilikan hartanah sedia ada,” ujarnya.

6.50 petang: Keropok Inang-inang Melaka antara makanan yang dijual AMANAH Melaka. Ramai lagi peserta himpunan dilihat duduk mengikuti ceramah dari sekitar Shah’s Village Hotel. Program berehat sementara untuk solat Maghrib.
Naib Ketua Pemuda AMANAH Nasional Fakhrulrazi mengambil alih slot untuk solat Maghrib yang akan diimamkan Penasihat Umum AMANAH Ustaz Ahmad Awang.
6.40 petang: Aktivis Pakatan Harapan sedang membentangkan tikar untuk persediaan solat Maghrib bagi peserta Himpunan Hapus Kleptokrasi yang beragama Islam. Masuk waktu Maghrib di Petaling Jaya pada pukul 7.02 petang.
6.20 petang: Presiden PH yang juga Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail tiba di lokasi perhimpunan. Beliau turut menandatangani ikrar antikleptokrasi.

6.15 petang: Ketua Angkatan Wanita AMANAH (Awan), Dr Siti Mariah Mahmud mengambil giliran bagi slot pimpinan Wanita Pakatan Harapan.



Ahli Parlimen Kota Raja itu berkata, kepimpinan negara pada masa ini adalah kleptokrat paling teruk di dunia ini.

“Jangan simpan dalam dada kita. Kita mesti turun bersemuka cerita apa yang berlaku di negara kita,” gesanya.

Tiada ulasan: