"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Serangan seksual, MAS disaman RM616,000

Malaysia Airlines Bhd (MAS) telah disaman di bawah Konvensyen Montreal lebih A$200,000 (RM616,000) oleh seorang wanita Australia yang mendakwa dia telah diserang secara seksual oleh ketua pramugara semasa dalam penerbangan ke Paris.

Laura Bushney, 28, menaiki pesawat MAS itu dari Kuala Lumpur ke Paris pada 4 Ogos 2014.

Penyerang yang didakwa itu, ketua pramugara Mohd Rosli Ab Karim, kini dalam jaminan di Perancis dan sedang menunggu perbicaraan selepas didakwa mengaku melakukan jenayah tersebut dan telah didakwa oleh pihak berkuasa Perancis, laporan news.com.au.

Portal berita itu berkata pernyataan tuntutan Bushney itu yang difailkan oleh peguam Shine di Mahkamah Persekutuan Australia Barat, memperincikan dakwaan pengalaman pahit itu yang dikatakan berlaku selama beberapa jam semasa penerbangan selama 13 jam itu.

Pengalaman pahit itu, menurut pernyataan tersebut, bermula selepas Bushney memaklumkan kepada krew kabin mengenai ketakutannya terbang dan Mohd Rosli berjanji untuk "melihat keadaannya" semasa dalam penerbangan itu.

Bushney mendakwa sepanjang penerbangan itu, ketua pramugara tersebut menyentuhnya, dengan menggosok perut dan pahanya, kemudiannya memasuk tangannya ke dalam seluarnya dan menyentuh bahagian sulitnya.

Selepas tiba di lapangan terbang Charles de Gaulle di Paris, Bushney berkata dia memberitahu seorang pegawai MAS bahawa dia telah diserang secara seksual dan dikatakan telah diberitahu bahawa "akan ada akibat terhadapnya jika dakwaan itu palsu".

"Pemohon menyatakan bahawa dia mahu membuat aduan itu (dan) polis Perancis membawa ketua pramugara itu ke balai polis di dalam lapangan terbang tersebut.

"Pemohon (Ms Bushney) bersetuju untuk menjalani ujian DNA," kata pernyataan itu.

Polis Perancis mendakwa Mohd Rosli dengan tuduhan melakukan serangan tidak senonoh selepas beberapa bulan siasatan dan kini dia dalam jaminan.
News.com.au berkata MAS menamatkan perkhidmatan Mohd Rosli dua minggu selepas kejadian yang dikatakan itu dan pada 25 Ogos 2014, Bushney mendedahkan pengalaman pahitnya itu di televisyen di Australia.

Di bawah Konvensyen Montral, Bushney mempunyai dua tahun untuk mendapatkan pampasan, berdasarkan kecederaan fizikal yang dialaminya dan juga kerugian kewangan.

Tiada ulasan: