"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Sejak bila Ridhuan Tee dan Presiden ISMA 'jaga pintu syurga'

Sasterawan Negara Datuk A Samad Said menyindir ahli akademik, Dr Mohd Ridhuan Tee Abdullah dan Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) Abdullah Zaik Abdul Rahman sebagai 'penjaga pintu syurga'.

Dalam laporan media Umno sebelum ini, Ridhuan dilaporkan mengkritik Samad yang mesra dengan panggilan Pak Samad, kerana tidak memilih PAS sebaliknya menyertai DAP.

Malah Ridhuan turut dilaporkan menasihati Pak Samad apabila berpolitik, pastikan memilih wadah yang membawa ke syurga.

Manakala Abdullah dalam laporan ISMAweb mengingatkan Pak Samad sepatutnya berfikir untuk mati dalam kebaikan bukan memilih menyertai DAP.

Abdullah juga dilaporkan berkata DAP bukan jalan hidayah dan hanyut dengan fahaman liberalisme sekular menyebabkan lahir umat Islam yang bertindak tanpa ambil kira halal haram.

Sehubungan itu, Pak Samad berkata beliau memilih DAP kerana percaya parti itu sememangnya berjuang untuk seluruh rakyat Malaysia dan beliau mempunyai cara yang tersendiri untuk masuk syurga.

“Saya memberi hormat kepada mereka (Abdullah dan Ridhuan) kerana menjadi 'penjaga pintu syurga'.

“Saya hormat mereka 'jaga pintu syurga' tapi saya juga punya jalan lain untuk masuk syurga,” katanya selepas majlis berbuka puasa anjuran BERSIH malam tadi.

Sementara itu, Pak Samad berkata beliau bersedia menyumbang sedaya upaya terhadap DAP kerana parti itu menyumbang kepada semua tanpa mengira batasan.

“Saya masuk DAP kerana saya mempercayai parti itu memang berjuang untuk seluruh orang Malaysia, sebabnya saya bersedia untuk menyumbang untuk beri apa yang boleh dibantu.

“Saya lebih fikirkan benda yang lebih besar (untuk DAP),” katanya
-malaysiakini-

Tiada ulasan: