"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Najib tersilap langkah lagi

Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak tersilap langkah lagi apabila beliau sendiri yang menerangkan skop siasatan Pasukan Petugas Khas yang sedang menyiasat dakwaan mengenai penyaluran dana kepada akaun bank yang didakwa dimiliki beliau.

“Siasatan sedang dilakukan oleh Pasukan Petugas Khas untuk menentukan sama ada tuduhan yang dibuat oleh Wall Street Journal bahawa saya telah mengambil dana 1 MDB untuk kepentingan diri sendiri berasas atau tidak. Siasatan mesti mengambil kira kesahihan dokumen yang telah disiarkan bagi menyokong tindakan akhbar tersebut.” (Kenyataan PM, 8 Julai 2015).

Kenyataan di atas mengundang persepsi Pasukan Petugas Khas tidak bebas, sedang menerima arahan, atau melaporkan penyiasatan kepada Najib, selaku orang yang sedang dituduh di dalam kes ini.

Ini tidak betul dan tidak baik dalam usaha Najib membersihkan namanya.

Ia lebih buruk daripada hakikat 4 individu yang mengetuai pasukan siasatan ini iaitu Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar, Pengerusi SPRM Tan Sri Abu Kassim Mohamed, dan Gabenor Bank Negara Tan Sri Zeti Akhtar Aziz, bekerja di bawah beliau.

Oleh itu, PAS menegaskan Najib perlu bercuti segera agar siasatan dilihat bersih.

Jika tidak, Najib akan kelihatan bermasalah meskipun pasukan siasatan mendapati dakwaan ke atas beliau tidak benar.

Najib berulang kali menegaskan beliau tidak mengambil dana 1MDB untuk kepentingan diri sendiri.

Ada 2 isu fokus yang masih belum dijawab dengan kenyataan di atas: apakah ada dana 1MDB yang disalurkan melalui akaun yang didakwa milik beliau? Jika ya, untuk kepentingan siapa, jika Najib bercakap benar bahawa ia bukan kepentingan diri sendiri?

Oleh itu, skop siasatan Pasukan Petugas Khas bukan sahaja perlu menentukan kebenaran dakwaan samada ada dana 1MDB yang dimasukkan ke akaun bank yang didakwa milik Najib, malah pasukan ini juga harus menentukan ke mana dana itu disalurkan seterusnya daripada akaun bank tersebut.

Apakah ada cek yang dikeluarkan daripada akaun tersebut, dan siapa penerimanya untuk kepentingan siapa?

Diharap siasatan dapat diselesaikan secepat mungkin untuk mengelakkan negara dan rakyat terus berada dalam keadaan gawat dan bimbang.

Atas ini, selain menyerbu pejabat 1MDB, PAS mencadangkan agar akaun 1MDB juga dapat dibekukan untuk membantu mempercepatkan siasatan. –

* Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man meruialah timbalan presiden PAS

Tiada ulasan: